Tuesday 23 April 2013

Apa itu Asid Amino?

Asid amino adalah molekul yang mengandungi kumpulan amino, asid karboksilik dan rantaian sampingan yang berbeza mengikut setiap jenis asid amino. Elemen penting dalam asid amino adalah karbon, hidrogen, oksigen dan nitrogen.

Dalam bahasa mudah, protein adalah nama besar yang mana merupakan salah satu makronutrien. Protein terdiri daripada rangkaian-rangkaian asid amino. Protein whey juga terdiri daripada rangkaian asid amino. Whey membawa maksud protein itu daripada sumber whey. Pendek kata, asid amino adalah protein, protein adalah asid amino. Asid amino bertindak sebagai blok binaan protein.

Ada banyak jenis asid amino. 20 telah dimasukkan dalam nutrisi standard manusia. Ada sesetengah rujukan mengatakan 22 dengan mencampurkan selenocysteine dan pyrrolysine disebabkan mekanisme sintetiknya yang unik. Mereka bersama membentuk rantai polimer pendek yang dipanggil peptida atau lebih panjang dipanggil polipeptida.



Selain daripada 22 jenis ini, terdapat banyak asid amino lagi yang dipanggil bukan proteinogenik. Mereka sama ada tidak dijumpai dalam protein, seperti carnitine, atau tidak dikeluarkan secara langsung dan berasingan oleh jentera selular seperti hydroxyproline dan selenomethionine. Beberapa lagi asid amino yang tidak tersenarai dan tidak dijumpai dalam protein termasuk lanthionine, 2-aminoisobutyric, dehydroalainine, neurotransmitter gamma-aminobutyric dan lain-lain. Terdapat pelbagai lagi asid amino termasuk hormon tumbesaran yang juga merupakan asid amino. Huruf di hadapan nama sesuatu asid amino merujuk kepada susunan strukturnya dan nombor merujuk kepada ikatan ke berapa yang disambung ke rangkaian lain.




Asid amino perlu (essential) membawa maksud, badan tidak dapat sintesiskannya daripada sumber lain dan memerlukannya daripada sumber luar, manakala tidak perlu (nonessential) bukan benar-benar bermaksud tidak perlu tetapi ianya boleh disintesiskan daripada sumber lain. Cysteine, taurine, tyrosine dan arginine adalah semiessential pada kanak-kanak disebabkan laluan untuk sintesis asid amino ini tidak terbentuk sepenuhnya lagi.

Jika lihat pada produk makanan tambahan, ada pelbagai jenis. BCAA (Branched-chain amino acid) adalah 3 jenis asid amino perlu iaitu valine, leucine dan isoleucine. Ketiga-tiga ini sangat penting pada otot dan merupakan elemen kedua perlu selepas latihan. Pertama, glukosa. Ideologi produk makanan tambahan ini adalah, struktur molekul yang berbeza dalam asid amino menyebabkan penyerapan BCAA menjadi perlahan. Jadi produk BCAA membantu mengasingkannya. Manakala produk berlabel ‘amino’ adalah campuran pelbagai jenis asid amino dan dilebihkan asid amino yang berfungsi untuk pemulihan seperti glutamine. Manakala arginine digunakan sebagai pencetus dalam produk nitric oxide. Produk-produk lain seperti protein whey, terdapat pelbagai campuran asid amino.


Kredit & Sumber asal Zaki Khan & Rujukan Wikipedia-Asid Amino

No comments:

Post a Comment